Thursday, October 1, 2009

Akept tumpu bangunkan kepakaran kepemimpinan organisasi dan ilmiah



KEMENTERIAN Pengajian Tinggi menerusi Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) akan menumpukan usaha membangun kepakaran kepemimpinan dalam organisasi dan ilmiah bagi membentuk kumpulan pakar kalangan pemimpin pendidikan tinggi.

Pengarahnya, Prof Datuk Dr Ahmad Zainuddin, berkata kumpulan itu kelak akan mempunyai kemahiran yang relevan dan budaya kecemerlangan unggul sebagai keperluan utama menerajui sesebuah universiti.

Katanya, pelaksanaan usaha itu adalah bersandarkan model kepemimpinan dibangunkan Akept dengan memastikan program pembangunan modal insan berteraskan keperluan pelanggan.

“Kita memilih timbalan naib canselor, timbalan rektor, dekan dan pentadbir universiti sebagai kumpulan sasar dan mereka akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti sebelum melalui proses training need analysis (TNA).

“Hasil TNA itu kelak akan dijadikan panduan menghasilkan kerangka kompetensi pemimpin bagi membolehkan program lebih berstruktur dapat dilaksanakan pada masa depan,” katanya kepada Berita Harian.

Selain itu, Ahmad menjelaskan, Unit Penilaian dan Talent Profiling diwujudkan Akept yang berperanan melakukan pengesanan, analisa peserta dan rumusan setiap program akademi berkenaan.

Katanya, Akept ingin menilai sejauh mana peserta mencapai kompetensi disasarkan dalam setiap program dan prestasi itu direkodkan bagi membolehkan langkah penambahbaikan dilaksanakan pada program seterusnya.

Di bawah kepemimpinan ilmiah katanya, Akept berusaha membina budaya kecemerlangan dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran melalui setiap pusat kecemerlangan universiti.

Beliau menjelaskan, penekanan akan diberikan kepada usaha memupuk budaya penulisan kalangan tenaga akademik bagi menghasilkan penerbitan berimpak tinggi yang mampu mengangkat kedudukan universiti di peringkat global.

“Pendedahan bagi membina kepakaran penulisan dan portfolio penyelidikan akan diberikan khususnya kalangan pensyarah muda yang mempunyai kelayakan ijazah doktor falsafah.

“Mereka perlu dibimbing dan galakan menulis artikel berimpak tinggi kerana kita perlukan penerbitan jurnal dan citation yang tinggi agar tahap universiti di negara ini mencapai tahap antarabangsa,” katanya.

Biarpun mengakui kebanyakan universiti penyelidikan mempunyai perancangan program penyelidikan masing-masing, katanya, Akept mahu semua universiti memanfaatkan program dijalankan.

“Bagi universiti bukan berstatus penyelidikan, inilah peluang untuk mereka melakukan perubahan termasuk dalam usaha memperkasakan aktiviti penyelidikan masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment